Khamis, 23 Ogos 2018 | 12:58pm
HALIMEY Abu Bakar. - Foto NSTP

Tidak perlu pembangkang untuk semak dan imbang

PETALING JAYA: Parlimen Seri Setia tidak memerlukan parti pembangkang bagi proses semak dan imbang.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berpendapat, ini kerana parti pembangkang hanya mempunyai lima suara di dewan negeri.

“Hanya ada lima wakil rakyat di EXCO Negeri Selangor. Adakah anda fikir, terdapat perbezaan (pada pembangkang) antara menjadi suara rakyat dan sebagai semak dan imbang?” katanya apabila diminta mengulas mengenai parti pembangkang yang ingin menjadi sebahagian daripada proses semak dan imbang di Seri Setia.

Beliau ketika ditemui di pusat operasi PH untuk PRK Seri Setia di sini, hari ini, berkata, rakyat juga harus sedar bahawa Selangor dan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya berada di bawah PH.

PRK DUN Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon Pas, Dr Halimah Ali.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap anggota EXCO kerajaan negeri Selangor, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Dr Halimah sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menjadi mekanisme ‘semak dan imbang’ rakyat bagi kerajaan Selangor.

Oleh itu, katanya, beliau memerlukan sokongan daripada pengundi, terutama belia, untuk memilihnya tanpa menghiraukan parti yang diwakili.

Dr Halimah yang juga bekas ahli EXCO Selangor, berkata terdapat keperluan untuk suara pembangkang yang kuat di dalam Dewan Undangan Negeri untuk memastikan terdapat proses semak dan imbang di peringkat kerajaan negeri.

Halimey berkata, berada pada peringkat negeri dan persekutuan, PH mempunyai suara yang jauh lebih kuat berbanding suara pembangkang yang tidak akan menampakkan perbezaan.

Oleh itu, beliau menggesa pengundi di Seri Setia melaksanakan hak mereka dan mengundinya pada hari pengundian untuk melihat perbezaan yang dimaksudkan.

Berita Harian X