Sabtu, 25 Ogos 2018 | 6:50pm
HALIMAH (tengah) berkempen dengan penduduk setempat di Pasar Tani Kelana Jaya hari ini. - Foto BERNAMA

Calon tempatan bukan jaminan boleh menang

PETALING JAYA: Calon PAS, Dr Halimah Ali tidak melihat latar belakang pesaingnya yang juga calon tempatan sebagai ancaman untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dan EXCO kerajaan Selangor itu berkata, faktor calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar sebagai anak tempatan di Seri Setia tidak memberinya kelebihan untuk memenangi pilihan raya berkenaan.

“Ya, ia satu kelebihan kepada beliau tetapi peluang untuk menang sentiasa terbuka kepada semua calon bertanding sama ada PAS atau PH,” katanya ketika ditemui pada program komuniti di Desa Mentari di sini, hari ini.

Dr Halimah bagaimanapun mengakui, faktor calon tempatan menjadi kelebihan kepada Halimey, namun ia bukan jaminan untuk menang dalam PRK Seri Setia.

“Berdasarkan rekod, ada calon luar yang bertanding berjaya menewaskan calon tempatan. Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari bukan calon tempatan, tetapi beliau boleh menang di kawasan yang ditandinginya.

“Saya sendiri ketika bertanding di DUN Selat Klang, mendapat undi yang besar walaupun saya bukan anak tempatan di situ,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Halimah berkata, beliau dan Halimey masing-masing mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK Seri Setia 8 September ini.

“Masing-masing ada kelebihan, namun bermula minggu depan, lebih ramai kepemimpinan PAS akan turun padang membantu saya berkempen,” katanya.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Berita Harian X