Sabtu, 25 Ogos 2018 | 11:22pm
TUN Dr Mahathir Mohamad - Foto AMRAN HAMID

Demokrasi dikembalikan lepas PRU-14

ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah hilang kepercayaan kepada sistem demokrasi negara ini ekoran kepincangan yang dilakukan pentadbiran terdahulu sehingga membebankan rakyat.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun beliau kembali percaya kepada sistem demokrasi selepas rakyat membantu menumbangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Rakyat semakin bijak apabila bersungguh-sungguh keluar beramai-ramai untuk mengundi dengan membuat keputusan untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak.

“Tindakan ini mengembalikan kepercayaan saya kepada demokrasi iaitu pemerintahan oleh rakyat. Sebab itulah rakyat berhak tepuk belakang sendiri sebab ini adalah kemenangan rakyat dan kejayaan atas usaha rakyat. Tanpa rakyat, Pakatan Harapan (PH) tidak akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Malaysia Baharu di Dataran Stargate di sini, malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kerajaan baharu berhadapan tugas mencabar apabila perlu memperbaiki kerosakan besar yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Katanya, kerosakan itu bukan saja membabitkan masalah kewangan dan ekonomi, tetapi turut membabitkan jabatan serta agensi kerajaan lain.

“Kita dapati ada pegawai tinggi kerajaan dihasut sehingga terbabit dalam kempen Barisan Nasional (BN). Mereka pakai baju biru, itulah pegawai tertinggi yang terdapat dalam kementerian.

“Ini menyukarkan kita untuk kerjasama dengan mereka sebab kita tidak tahu sama ada arahan yang diberi dipatuhi ataupun tidak.

“Atas perkara itulah, banyak masa habis untuk membersihkan kementerian dan jabatan yang rosak sebab mereka (pegawai tinggi) sudah menjadi ahli BN, malah berkempen bahawa gaji penjawat awam dibayar Najib, maka mereka perlu terus menyokong Najib,” katanya.

Berita Harian X