Ahad, 26 Ogos 2018 | 3:53pm
CALON PAS bagi PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali. - Foto Sairien Nafis

Undi gabungan PAS, BN bonus bagi calon PAS

MARANG: Undi teras daripada pengundi Barisan Nasional (BN) diyakini menyumbang kemenangan kepada calon PAS, Dr Halimah Ali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 9 September ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Dr Halimah dijangka menerima peningkatan undi, terutama apabila undi teras daripada pengundi BN serta PAS dicampur.

Beliau berkata, walaupun kemenangan dianggap tidak mudah, dengan undi teras daripada penyokong BN dan PAS, tidak mustahil kerusi DUN Seri Setia akan dimenangi Dr Halimah.

“Berdasarkan perkembangan terkini di DUN Seri Setia, sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) dan peratusan keluar mengundi semakin menurun.

“Jika diteliti keputusan PRK Sungai Kandis, sokongan pengundi kepada PH semakin merosot apabila hanya 49.4 peratus daripada 51,217 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya selepas merasmikan majlis melabuhkan unjam di Jeti Pelancongan Marang, di sini, hari ini.


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merasmikan majlis melabuhkan unjam di Jeti Pelancongan Marang, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Aza, Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Yahaya Ali dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali.

PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, pada PRK DUN Seri Kandis, pada 4 Ogos lalu bukan disebabkan kesedaran dan kefahaman pengundi, sebaliknya undi simpati.

Berita Harian X