Isnin, 27 Ogos 2018 | 4:09pm
SETIAUSAHA MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin. - Foto Faiz Anuar

Sokongan PAS kepada MCA tak akan jejaskan undi Cina

SHAH ALAM: Sokongan PAS kepada calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong diyakini tidak akan menjejaskan undi masyarakat Cina kepada parti itu.

Setiausaha MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin berkata, walaupun PAS masih memperjuangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 berkaitan hudud, namun pihaknya yakin masyarakat Cina sudah matang untuk menilai isu itu.

"Kalau nak cakap pengundi Cina 'lari', memang mereka (pengundi Cina) sudah pun 'lari' pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14). Jadi tidak timbul isu pengundi Cina akan 'lari' apabila MCA bekerjasama dengan PAS.

"Apa pun MCA akan terus berkempen serta memberi penerangan kepada pengundi di Balakong," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Chok Sin berkata, MCA yakin pengundi Cina sudah mula buka mata serta menilai parti mana yang jujur serta berpegang kepada janji.

"MCA yakin akan ada perkembangan positif di Balakong. Kejayaan menarik kembali pengundi Cina walaupun pada kadar yang rendah adalah satu kejayaan serta petanda positif kepada parti ini," katanya.

Ditanya sama ada MCA mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya menyokong calon PAS pada PRK DUN Seri Setia, Chok Sin berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan khusus, namun yakin ahli faham dasar parti ketika ini.

"Tiada (arahan). Kita tidak sebut secara khusus kena beri undi kepada parti tertentu. Dasar MCA adalah jelas iaitu menyokong parti selain PH (Pakatan Harapan)," katanya.

PRK DUN Balakong menyaksikan pertembungan antara calon PH daripada DAP, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong, yang pertama kali menggunakan simbol sendiri, manakala calon PAS, Dr Halimah Ali dan calon PH, Halimey Abu Bakar pula bertanding pada PRK DUN Seri Setia.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Kerusi DUN Seri Setia pula diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Berita Harian X