Selasa, 28 Ogos 2018 | 11:02pm
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali (tengah) berkempen dengan penduduk setempat di Pasar Malam Lembah Subang hari ini. Dr Halimah Ali ditentang oleh calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Seri Setia 8 September ini. - Foto BERNAMA
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali (tengah) berkempen dengan penduduk setempat di Pasar Malam Lembah Subang hari ini. Dr Halimah Ali ditentang oleh calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Seri Setia 8 September ini. - Foto BERNAMA

Pas perjuangkan isu pemilikan rumah

PETALING JAYA: Isu pemilikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Lembah Subang antara perkara yang akan diperjuangkan calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali.

Katanya, beliau menerima banyak maklum balas daripada penduduk PPRT Lembah Subang untuk memiliki unit rumah yang sudah didiami lebih 10 tahun.

“Saya sendiri akan mengangkat suara penduduk PPRT Lembah Subang dalam Sidang DUN sekiranya memenangi PRK untuk menyelesaikan isu ini sama seperti yang saya lakukan di DUN Selat Klang dulu.

“Masalah setinggan di Selat Klang berjaya diselesaikan dengan titik peluh saya sendiri sehingga penduduk di situ memiliki geran tanah masing-masing.

InsyaAllah, perkara sama boleh dibuat di sini,” katanya pada majlis dialog bersama wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk PPRT Lembah Klang, malam tadi.

Pada 2012, Dr Halimah berjaya menamatkan penantian 40 tahun bagi 125 penduduk Kampung Keretapi, Klang untuk memiliki geran tanah.

Beliau yang ketika itu ADUN Selat Klang, bertungkus lumus berurusan dengan pihak Pengurusan Aset Keretapi, Pejabat Tanah Klang, EXCO Kerajaan Selangor dan wakil penduduk yang berbilang ideologi politik.

Menurut Dr Halimah lagi, tidak mustahil dasar PPRT sebagai rumah transit boleh diubah kepada pemilikan penuh pada masa akan datang.

“Undang-undang ini manusia yang buat. Jika yang buat dasar kata nak jual, dia boleh buat, sebab itu kena desak orang yang buat dasar untuk penuhi hasrat rakyat.

“Jadi, suara penduduk serta mereka yang terbabit boleh dicantum bersama supaya suara desakan itu menjadi lebih kuat,” katanya.

PRK Dun Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Dr Halimah dan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Berita Harian X