Khamis, 30 Ogos 2018 | 3:30pm
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali. - Foto BERNAMA
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali. - Foto BERNAMA

Dr Halimah peka kemudahan laluan mesra OKU

PETALING JAYA: Kemudahan laluan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan perumahan bertingkat dan klinik sekitar Kelana Jaya dan Petaling Jaya antara perkara yang akan diperjuangkan calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali.

Katanya, beliau mengambil serius isu berkenaan yang dilihat sebagai keperluan penting terutama bagi penduduk kawasan pangsapuri yang tiada kemudahan lif.

"Saya turut mendapat aduan terdapat klinik kesihatan di sini yang tidak menyediakan kemudahan laluan OKU menyebabkan warga emas terutama yang berkerusi roda sukar mendapatkan rawatan fisioterapi.

"Insya-Allah saya sendiri akan mengangkat suara mewakili penduduk dalam Sidang DUN sekiranya memenangi PRK untuk menyelesaikan isu ini.

"Amat menyedihkan melihat keadaan penduduk terutama yang sudah berusia dan uzur berulang alik ke klinik dan hospital menggunakan tangga," katanya ketika lawatan ke Apartment Seri Menanti, Petaling Jaya, di sini, hari ini.

PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandang, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin kerana barah usus, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff Haniff, Mohd Ghazali Daud dari PAS dan calon Bebas, Dr S Vignes.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September ini sementara undi awal pada 4 September.

PRK DUN Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Dr Halimah dan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar.

Berita Harian X