Ahad, 2 September 2018 | 2:19pm
NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Foto Muhaizan Yahya
NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Foto Muhaizan Yahya

Rafizi pilihan utama perwakilan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dijangka menyapu bersih undi daripada seluruh perwakilan parti di peringkat negeri pada mesyuarat pemilihan yang akan diadakan serentak di seluruh negara, awal bulan depan.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, berkata semangat kenegerian yang menebal dalam kalangan perwakilan menyebabkan Rafizi yang juga bekas Ketua Cabang PKR Kemaman dijangka memperoleh undi mudah untuk mencabar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden.

Beliau berkata, walaupun tiada kumpulan diwujudkan untuk menyokong mana-mana kumpulan, namun berdasarkan semangat kenegerian, Rafizi dijangka memperoleh 100 peratus undi daripada lebih 150 perwakilan.

“PKR negeri memberi kebebasan penuh kepada semua perwakilan memilih calon yang menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden pada kongres PKR yang akan diadakan November depan,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi, hari ini.

Kumpulan Rafizi antaranya dianggotai Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), manakala kumpulan Azmin dianggotai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Azan yang turut menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden, berkata berdasarkan kecenderungan perwakilan termasuk mengambil kira Rafizi sebagai anak Terengganu dan dilahirkan di Kemaman, kumpulan Azmin dijangka gagal memperolehi undi daripada negeri itu.

Katanya, PKR negeri memutuskan hanya menyokong kumpulan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden, tetapi memberi kebebasan penuh kepada perwakilan memilih individu untuk jawatan timbalan selepas mendapati Anwar tidak dicabar.

“Setakat ini tiada kumpulan diwujudkan bagi menyokong mana-mana kumpulan yang bertanding timbalan presiden, semua perwakilan memutuskan menunggu pendirian Anwar yang dijangka akan membuat kunjungan hormat ke negeri ini,” katanya.

Berita Harian X