Isnin, 3 September 2018 | 3:19pm
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar, meninjau keadaan bumbung yang bocor ketika melakukan kunjungan ke rumah mangsa kejadian ribut semalam di Flat PKNS, Kampung Lindungan, Petaling Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kempen Halimey meliputi lebih 85 peratus Seri Setia

PETALING JAYA: Memasuki hari ke-17 berkempen hari ini, calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar mengakui sudah melawat lebih 85 peratus kawasan pengundi.

Menurutnya, beliau dan semua jentera parti juga sudah bersedia untuk memantau proses pengundian awal esok.

“Kami membuat persediaan dan latihan untuk petugas parti berada di lokasi pengundian awal bagi memantau proses mengundi esok.

“Pada program jelajah mesra sebelum ini pun saya sudah bertemu dengan pengundi polis dan tentera dan menyampaikan harapan kepada mereka,” katanya pada sidang media di pusat operasi PH di sini hari ini.

PRK DUN Seri Setia Sabtu ini akan menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali

Semalam, Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Md Yusop Mansor, dalam satu kenyataan berkata, seramai 2,770 pengundi awal terbabit di Seri Setia, terdiri daripada 2,597 anggota tentera dan pasangan mereka serta 173 anggota polis.

 CALON Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar, melihat bekas yang digunakan setelah bumbung rumah bocor ketika melakukan kunjungan ke rumah mangsa kejadian ribut semalam di Flat PKNS, Kampung Lindungan, Petaling Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Bagi anggota tentera dan pasangan, mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang, manakala anggota polis menghantar undi mereka di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Shah Alam.

Kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, dalam perkembangan kempennya, Halimey berkata, beliau mencadangkan penganjuran Minggu Kebudayaan sebagai tanda sokongan pembabitan belia dalam bidang seni.

“Saya percaya seni dan budaya adalah warisan yang perlu dipertahankan sebagai khazanah amat berharga yang tiada had tempoh atau tarikh luputnya.

“Generasi muda perlu digalakkan untuk bergiat dalam apa sahaja cabang seni dan budaya sekali gus dapat mengasah bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia harus mencontohi negara maju seperti Perancis yang tidak pernah meminggirkan seni dan budaya tempatan selain Indonesia yang menyediakan ruang mencukupi untuk rakyatnya berkarya dalam bidang seni dan budaya tradisional.

“Ini menunjukkan mereka mengakui seni dan budaya adalah antara aset terpenting yang banyak menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negara itu.

“Sebagai bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya saya juga akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mewujudkan sudut seni di lokasi tertentu di kawasan DUN Seri Setia.

“Melalui sudut seni ini, penggiat seni akan dapat berlatih dengan selesa untuk mengembangkan bakat sekali gus mampu menarik kedatangan pelancong ke kawasan ini,” katanya.

Berita Harian X