X
Isnin, 3 September 2018 | 3:44pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Pengundian awal PRK Seri Setia, Balakong esok

KUALA LUMPUR: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong akan melaksanakan tanggungjawab mereka esok.

Seramai 2,770 pengundi awal akan mengundi bagi PRK DUN Seri Setia membabitkan 2,597 anggota tentera dan pasangan serta 173 anggota polis dengan pusat pengundian akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Anggota tentera dan pasangan mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang, manakala anggota polis akan mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shah Alam.

Bagi PRK Balakong pula, seramai 31 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan dengan pusat pengundian dibuka bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Md Yusop Mansor, berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

“Selain ejen calon bertanding, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses pengundian awal itu.

“Untuk makluman, kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraan kertas undi berkenaan hanya akan dilakukan pada Sabtu ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Seri Setia menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali, manakala PRK Balakong membabitkan calon MCA, Tan Chee Teong dan calon PH, Wong Siew Ki.

Hari pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu akan berlangsung Sabtu ini.

Berita Harian X