Selasa, 4 September 2018 | 11:48am

Dr Halimah persoal SPRM tahan bekas ADUN

SHAH ALAM: Calon PAS, Dr Halimah Ali mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia masih berlangsung.

Dr Halimah berkata, beliau sememangnya terkejut dengan kekecohan mengenai penahanan individu yang berkaitan dengan parti berkenaan.

"Kenapa sekarang (penahanan itu dibuat)? Namun, saya berharap pihak berkenaan (SPRM) menjalankan tugas dengan baik dan profesional.

"Beliau (bekas ADUN itu) perlu diberi peluang untuk membela diri dan kami (PAS) mahu siapa saja yang disyaki itu disiasat dengan telus serta bukannya atas tekanan.

"Bagi kami tiada masalah. Beliau ada hak dan masih tidak bersalah selagi tidak disabitkan bersalah," katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini, hari ini.

Halimah, perkara itu diharap tidak dipolitikkan kerana masih ada isu lebih besar dan membabitkan individu lain.

"Dalam PAS, kita sentiasa konsisten iaitu benar tetap benar, salah tetap salah," katanya.

NSTP semalam melaporkan SPRM menahan seorang bekas ADUN Selangor bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000.

Bekas ADUN wanita berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.

Dia dipercayai melantik sebuah syarikat anaknya sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat DUN.

Difahamkan, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Selain Dr Halimah Ali yang kini bertanding pada PRK Seri Setia ketika ini, lima lagi bekas ADUN adalah Gan Pei Nie (Rawang); Tiew Way Keng (Teratai); Noor Hanim Ismail (Serdang); Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara); dan Lai Nyuk Lan (Sungai Pelek).

HALIMAH Ali. - Foto BERNAMA
Berita Harian X