Selasa, 4 September 2018 | 12:50pm
BAPA kepada pelakon popular Fattah Amin, Mohd Amin Musa, menunjukkan jari yang berdakwat sebagai tanda selesai mengundi di Kompleks Stor Material Spesifik (SMS) TTDI Jaya, Shah Alam bagi kerusi DUN Seri Setia. - Foto NSTP
BAPA kepada pelakon popular Fattah Amin, Mohd Amin Musa, menunjukkan jari yang berdakwat sebagai tanda selesai mengundi di Kompleks Stor Material Spesifik (SMS) TTDI Jaya, Shah Alam bagi kerusi DUN Seri Setia. - Foto NSTP

Bapa Fattah Amin antara pengundi awal PRK Seri Setia

SHAH ALAM: Bapa kepada pelakon popular, Fattah Amin antara pengundi awal yang turun mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Koperal Mohd Amin Musa, 51, yang bertugas di Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (STaRT), di Kompleks Stor Material Spesifik (SMS) TTDI Jaya, di sini itu turun mengundi pada jam 8.30 pagi tadi.

Mohd Amin yang sudah berkhidmat sebagai anggota polis selama 32 tahun berkata, ini adalah kali pertama beliau mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Jika sebelum ini saya undi di Petaling Jaya, ini kali pertama saya undi di sini.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Pagi tadi saya datang ke sini untuk mengundi dan melakukan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Pengundian awal itu membabitkan keseluruhan seramai 2,770 pengundi termasuk 173 pegawai dan anggota polis yang mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Proses pengundian akan berakhir jam 5 petang ini.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Berita Harian X