Selasa, 4 September 2018 | 3:59pm
OTHMAN (tengah) membuat lawatan ke pusat undian awal PRK DUN Seri Setia di Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM, Shah Alam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
OTHMAN (tengah) membuat lawatan ke pusat undian awal PRK DUN Seri Setia di Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM, Shah Alam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SPR sasar 70% keluar mengundi Sabtu ini

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan PRK DUN Seri Setia pada Sabtu ini.

Justeru, SPR sedang mempergiatkan promosi dan hebahan umum sepanjang tempoh kempen kedua-dua PRK itu yang hanya berbaki selama empat hari.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya meletakkan sasaran lebih tinggi berbanding peratusan kecil yang keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis sebelum ini.

"Jumlah itu (70 peratus) hanya jangkaan awal berikutan kita memahami keadaan ketika ini berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Namun, bagi menarik pengundi turun menunaikan tanggungjawab mereka, kita sudah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya membuat hebahan menerusi Unit Bergerak Jabatan Penerangan dan hebahan media massa.

"Selain itu, kita meminta semua calon parti bertanding menerusi kempen mereka membantu membuat hebahan menggalakkan pengundi keluar mengundi pada 8 September ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini, hari ini.

Pengundian awal bagi PRK Seri Setia itu membabitkan keseluruhan seramai 2,770 orang termasuk 173 pegawai dan anggota polis yang mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Bagi PRK Balakong pula, seramai 28 pengundi awal terdiri daripada anggota polis selesai mengundi di Kuarters Balai Polis Seri Kembangan, sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Othman berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai kes atau salah laku sepanjang kempen kedua-dua PRK berkenaan.

"Kita secara rasmi tiada menerima laporan mengenainya, namun ada yang tidak rasmi seperti di Facebook (FB) atau sebagainya mengenai kes salah laku.

"Justeru, kita meminta laporan dibuat terus kepada pasukan penguatkuasa SPR jika mempunyai maklumat seumpama itu," katanya.

Beliau berkata, SPR setakat ini berpuas hati dengan perjalanan dua PRK berkenaan yang dilihat berjalan lancar dan terkawal.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada PRU-14, Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

PRK Balakong pula membabitkan pertembungan calon MCA Tan Chee Teong dan calon PH Wong Siew Ki.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lalu.

Berita Harian X