Selasa, 4 September 2018 | 6:24pm
SEBAHAGIAN anggota Tentera beratur sebelum memasuki dewan untuk mengundi pada PRK DUN Seri Setia di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini. - Foto BERNAMA

77 peratus pengundi awal PRK Seri Setia

SHAH ALAM: Sebanyak 77 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia keluar menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata jumlah itu membabitkan 2,770 pengundi awal iaitu 2,597 anggota tentera serta pasangan masing-masing dan 173 anggota polis.

“Jumlah itu dicatatkan selepas kedua-dua pusat pengundian awal yang dibuka di DUN berkenaan ditutup pada jam 5 petang tadi.

“Dua pusat yang dibuka iaitu Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang untuk anggota tentera dan pasangan serta Kompleks Stor Material Spesifik (SMS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di TTDI Jaya untuk anggota PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, pada 2 Ogos lalu.

PRK Seri Setia, Sabtu ini menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Berita Harian X