Rabu, 5 September 2018 | 2:57pm
DR Halimah Ali (tengah) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout kempen Pilihanraya Kecil DUN Seri Setia di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
DR Halimah Ali (tengah) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout kempen Pilihanraya Kecil DUN Seri Setia di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Hujah Halimey ketinggalan zaman - Dr Halimah Ali

PETALING JAYA: Calon PAS, Dr Halimah Ali menyifatkan hujah calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar sebagai ketinggalan zaman apabila berterusan menyerang peribadinya yang dikatakan sebagai orang luar dan tidak mengenali penduduk tempatan.

Dr Halimah berkata, gaya kempen PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sering menggunakan modal anak tempatan sebagai kelebihan juga tidak mengikut peredaran masa.

“Halimey perlu sedar bahawa gaya hidup di bandar tidak sama seperti di kampung yang mana penduduknya sering berpindah randah.

“Isu lahir di sini atau tidak sebenarnya tidak menjamin apa-apa kemenangan kerana penduduk hanya mahukan wakil rakyat yang boleh laksanakan tugas dengan baik.

“’This is urban’, tak boleh fikir macam orang kampung, kadang-kadang memang lahir di sini tapi membesar tempat lain, belum tentu penduduk kenal,” katanya selepas menyantuni penduduk sekitar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, di sini, hari ini.

Katanya, memilih pemimpin luar tidak bermakna kualiti kepemimpinan akan merosot dan kebajikan rakyat tidak terbela.

“Lahir di sini, mengundi di sini, saya rasa itu cara pemikiran lama dan kita sudah lalui anjakan paradigma.

“Pemain bola yang hebat, kenapa sesebuah negara boleh nak bayar pemain import, untuk apa, untuk mencapai kejayaan sebab dia adalah pemain yang hebat,” katanya.

Terdahulu, Halimey berulang kali menyatakan keyakinannya memenangi PRK Dun Seri Setia berdasarkan latar belakangnya sebagai anak tempatan dan mengenali selok belok kawasan yang diwakilinya itu.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.

PRK Dun Seri Setia, Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Halimah dan Halimey.

Berita Harian X