Rabu, 5 September 2018 | 3:20pm
CALON Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Lebih 60 peratus akan keluar mengundi - Halimey

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar, optimis lebih 60 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Sabtu ini.

Beliau berkata demikian selepas kempen yang dijalankan sehingga hari ke-19 hari ini sudah meliputi 90 peratus kawasan Seri Setia.

“Saya yakin bahawa 60 peratus jumlah pengundi akan turun pada Sabtu ini, tetapi saya juga gembira melihat unjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak 70 peratus,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

SPR menjangkakan seramai 70 peratus penduduk Seri Setia akan keluar mengundi bagi PRK Balakong dan Seri Setia, Sabtu ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, menjelang empat hari lagi sebelum hari pengundian, SPR menggalakkan usaha untuk menarik jumlah pengundi yang lebih besar.

Beliau berkata, SPR menetapkan sasaran yang lebih besar daripada jumlah pengundi sebanyak 49.8 peratus yang dicatatkan ketika PRK Sungai Kandis.

“Bagaimanapun, hasil yang dijangkakan (70 peratus) hanyalah satu anggaran. Kami memahami bahawa ia tidak sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Sementara itu, Halimey berkata parti itu juga optimis dalam meningkatkan kesedaran publisiti di DUN Seri Setia dengan mengingatkan pengundi mengenai hari pengundian.

“Saya harus akui ada pengundi yang tidak mengetahui Sabtu ini adalah hari pengundian, namun kita sudah pun meningkatkan hebahan dan publisiti,” katanya.

Ditanya jika cuti umum yang panjang pada hujung minggu ini bakal memberi kesan kepada jumlah pengundi, Halimey masih yakin penduduk akan menjalankan tanggungjawab mereka sebelum bercuti.

“Saya menyeru kepada pengundi Seri Setia untuk datang awal pagi untuk mengundi dan mungkin pulang ke kampung selepas itu,” katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.

PRK DUN Seri Setia, Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Berita Harian X