Rabu, 5 September 2018 | 4:42pm
MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi berkata kerjasama oleh jentera PRK Dun Seri Setia, semua sayap parti termasuk daripada UMNO amat memberangsangkan. - Foto Baharom Bakar

'Tiada perbalahan jentera PRK PAS-UMNO'

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS menafikan berlaku percanggahan pendapat dan perbalahan antara jentera pilihan raya parti itu dan UMNO sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Seri Setia.

Ketua pergerakan itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerjasama jentera PRK Dun Seri Setia daripada semua sayap parti termasuk UMNO amat memberangsangkan.

Katanya, tiada sebarang percanggahan pendapat serta perbalahan antara petugas berlaku dan kempen tertumpu kepada usaha memastikan kemenangan calon PAS, Dr Halimah Ali.

“Jika dinilai situasi pengundi dan berpandukan kepada beberapa isu seperti pengguguran kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atas tuduhan pembelian lot banglo, keputusan mengejutkan bakal berlaku pada PRK DUN Seri Setia, Sabtu ini.

“Kemenangan besar calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya pelbagai isu terutamanya pengkhianatan dan kegagalan kerajaan menunaikan janji menyebabkan sokongan rakyat, terutamanya pengundi di DUN Seri Setia kepada kerajaan semakin menurun,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, berkata berdasarkan pelbagai faktor dan trend pengundi termasuk pengundi bukan Islam, tidak mustahil akan berlaku keputusan mengejutkan terutama jika peratusan pengundi Melayu keluar mengundi tinggi.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU lalu, Dr Shaharuddin memenangi kerusi dengan majoriti 19,372, selepas menewaskan tiga calon iaitu Datuk Yusoff M Haniff dari Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon bebas Dr S. Vignes.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertembungan antara Dr Halimah dan calon PH, Halimey Abu Bakar.

Berita Harian X