Khamis, 6 September 2018 | 9:25pm
HALIMEY sebak apabila mengenang kembali kehidupannya sebagai bekas anak setinggan di kawasan DUN Seri Setia. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
HALIMEY sebak apabila mengenang kembali kehidupannya sebagai bekas anak setinggan di kawasan DUN Seri Setia. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Halimey sebak kenang hidup sebagai bekas anak setinggan

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar sebak apabila mengenang kembali kehidupannya sebagai bekas anak setinggan di kawasan DUN itu.

Dengan linangan air mata, beliau berkongsi pengalamannya membesar dalam keluarga yang susah serta serba kekurangan.

"Saya sudah biasa dengan kehidupan susah. Saya akui saya anak setinggan dan anak seorang peniaga pasar malam yang pernah memperoleh pendapatan RM20 sehari untuk menampung keluarga saya.

"Jadi, sekarang inilah masanya saya nak membantu penduduk kawasan DUN Seri Setia, kawasan saya sendiri. Biarlah pihak lawan nak cakap apa pun," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Halimey berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon PAS Dr Halimah Ali semalam yang menyifatkan pemikiran bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu masih di takuk lama berikutan sentiasa menggunakan faktor ‘anak tempatan’ untuk meraih undi.

Tegas calon PH itu, Dr Halimah merupakan calon bertanding yang tidak berdaftar sebagai pengundi bagi PRK DUN Seri Setia.

"Saya memang anak tempatan. Malah, selama saya menjadi anggota majlis, banyak sumbangan telah saya berikan untuk kemudahan dan keistimewaan kepada penduduk-penduduk di Zon 24 di kawasan DUN Seri Setia," katanya.

Halimey berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Dr Halimah pada PRK itu Sabtu ini, yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas. -- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X