Jumaat, 7 September 2018 | 9:58am
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar, ketika sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Adun Seri Setia, Kelana Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar, ketika sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Adun Seri Setia, Kelana Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
CALON PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
CALON PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tempoh kempen Seri Setia sampai ke penghujung

SHAH ALAM: Tempoh 21 hari yang panjang akhirnya bakal berakhir menjelang tengah malam ini sebelum kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dari Pakatan Harapan dan PAS menyerahkan kepada budi bicara pengundi di kawasan berkenaan.

Sepanjang 21 hari berkempen, pelbagai isu dikupas setiap calon terutama isu tempatan dalam meraih undi daripada 53,492 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Seperti di PRK Sungai Kandis yang berakhir sebulan lalu, isu calon tempatan tetap dimainkan dalam kempen pilihan raya di Seri Setia terutama calon PAS, Dr Halimah Ali, bukan sekadar pernah mewakili DUN Selat Kelang di Parlimen Kapar malah beliau juga dilahirkan di Sarawak berbanding calon PH, Halimey Abu Bakar yang menggunakan tiket anak tempatan untuk memastikan kerusi itu kekal milik kerajaan memerintah.

Berbeza dengan Dr Halimah yang berdiri dengan logo bulan purnama yang sudah diketahui umum, perjalanan Halimey adalah juga ujian buat PH kerana untuk kali pertama logo Harapan digunakan dalam pilihan raya dan sama ada ia sudah dihafal pengundi yang akan memangkah kertas undi bermula jam 8 pagi esok.

Unik kawasan DUN Seri Setia, demografi penduduknya adalah pelbagai.

Wakil rakyatnya juga perlulah terdiri daripada seorang yang bukan saja mampu berkhidmat untuk penduduk di kawasan urban, malah beliau juga mampu membawa permasalahan yang dialami penduduk di kawasan yang mempunyai masyarakat dikategorikan sebagai miskin bandar.

Kalau dilihat dari segi rekod perkhidmatan, sudah tentu Dr Halimah memiliki kelebihan berikutan pernah berkhidmat sebagai EXCO negeri biar pun sepenggal dalam pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dahulu selain latar belakangnya yang mencerminkan kesungguhannya mengubah nasib diri yang lahir dari keluarga susah.

Namun, Halimey juga tidak boleh dipandang lekeh kerana anak tempatan itu juga sudah berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai ahli majlis, dan tentunya beliau tahu selok blok kawasan yang ingin diwakilinya itu.

Pecutan terakhir kedua-dua parti bertanding juga akan diakhiri dengan ceramah 'grand finale' oleh nama tokoh besar dalam parti bertanding dan sekutunya.

Ceramah 'grand finale' penutup kempen PH di Padang Permainan, Jalan SS5C/9, Petaling Jaya malam ini bakal menampilkan sudah tentu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain Menteri Besar Amiruddin Shari, dan bekas Menteri Besar Selangor serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jadual calon PAS pula masih belum menyatakan siapa pemimpin besar yang akan turun padang merayu undi pemilih buat kali terakhir di DUN Seri Setia dalam ceramah 'grand finale' namun, sudah pasti ia juga akan dibarisi nama tersohor.

DUN Seri Setia mempunyai seramai 26,972 (50.42 peratus) pengundi wanita, sedikit lebih berbanding seramai 26,520 (49.58 peratus) pengundi lelaki.

Hampir separuh pengundi di kawasan itu juga terdiri daripada mereka yang berusia antara 30 hingga 49 tahun.

Satu lagi yang menjadi kebimbangan ialah jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab kerana jika diukur kepada PRK Sungai Kandis apabila tidak sampai 50 peratus yang mengundi, sudah pasti ia dikhuatiri berlaku juga di Seri Setia.

Apa pun, peluang berkempen selama 21 hari dan sama ada ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua calon akan terurai pada hari pengundian yang akan berakhir jam 5.30 petang esok.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.

Berita Harian X