X
Jumaat, 7 September 2018 | 1:24pm
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia hari ini.
Dia akan ditentang calon PAS Dr Halimah Ali pada PRK Sabtu ini. - Foto BERNAMA
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia hari ini.
Dia akan ditentang calon PAS Dr Halimah Ali pada PRK Sabtu ini. - Foto BERNAMA

Halimey sedia isytihar harta

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menegaskan beliau tidak mempunyai halangan untuk mengisytiharkan hartanya dalam masa terdekat, namun bukan sebelum hari pengundian.

Halimey berkata, setakat ini tiada keperluan baginya untuk mengisytiharkan harta, namun beliau bersedia untuk berbuat demikian sekiranya terdapat permintaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya terima pandangan mereka (UMNO dan Pas). Saya bersedia untuk isytihar harta, tetapi saya perlu berbincang dengan kepimpinan terlebih dulu. Tiada masalah bagi saya," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kepimpinan Pas dan UMNO Selangor menggesa calon PRK DUN Seri Setia supaya mengisytihar harta sebelum hari pengundian, esok.

Katanya lagi, sekiranya pihak pimpinan UMNO dan Pas ingin meminta calon mengisytiharkan harta, ia sepatutnya disuarakan lebih awal.

"Mereka (UMNO dan Pas) pun tak minta kita buat dulu. Saya percaya mereka sengaja timbulkan isu ini pada saat akhir kempen," katanya.

Sementara itu, Halimey menyatakan keyakinannya memenangi kerusi DUN Seri Setia sebanyak 96 peratus.

"Saya yakin 96 peratus memenangi kerusi DUN Seri Setia, esok.

"Pengundi yakin dengan kebolehan saya semasa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mana banyak penambahbaikkan dilaksanakan bagi penduduk di Seri Setia," katanya.

Ditanya apa perkara pertama beliau akan lakukan sekiranya memenangi PRK Dun Seri Setia esok, Halimey ingin memastikan Pusat Khidmat Seri Setia berfungsi dengan teratur.

"Bagi kemudahan penduduk, saya akan pastikan Pusat Khidmat Seri Setia di Kelana Jaya ini akan diuruskan dengan baik supaya segala urusan berkaitan penduduk dapat dilaksanakan dengan cepat.

"InsyaAllah juga, kita akan adakan kenduri kesyukuran sebagai tanda terima kasih kepada pengundi sekiranya PH memenangi kerusi DUN Seri Setia," katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Berita Harian X