Sabtu, 8 September 2018 | 10:46am
PENGUNDI beratur untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

12 peratus sudah keluar mengundi di Seri Setia

PETALING JAYA: Jumlah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dicatatkan 12 peratus setakat jam 9 pagi tadi.

Statistik itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.

SPR menganggarkan antara 70 hingga 80 peratus pengundi akan keluar menunaikan kewajipan mereka di PRK Seri Setia.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan Dr Halimah Ali daripada PAS.

Halimey mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Jalan PJS 10/11 Peta­ling Jaya sementara Dr Halimah bukan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada jam 5:30 petang ini.

Terdahulu pada 4 September lalu seramai 2,770 pengundi berdaftar membabitkan 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis terlibat untuk pengundian awal.

Berita Harian X