Sabtu, 8 September 2018 | 11:31am

18 peratus keluar mengundi di Seri Setia

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia masih rendah dengan 18 peratus setakat jam 10 pagi tadi.

Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.

Sebelum ini SPR menganggarkan antara 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan kewajipan mereka di PRK Seri Setia.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan Dr Halimah Ali daripada PAS.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada jam 5:30 petang ini.

Terdahulu pada 4 September lalu seramai 2,770 pengundi berdaftar membabitkan 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis terlibat untuk pengundian awal.

PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya membantu salah seorang warga emas mengundi bagi PRK DUN Seri Setia di Sekolah Kebangsaan Kelana Jaya 2. - Foto BERNAMA
Berita Harian X