Sabtu, 8 September 2018 | 5:28pm
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali (dua, kanan) melakukan lawatan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan hari ini. - Foto BERNAMA

PAS yakin menang di Seri Setia

KUALA TERENGGANU: PAS percaya gelombang sokongan pengundi terhadap parti pembangkang yang semakin meningkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan diterjemahkan pada PRK DUN Seri Setia hari ini.

Mengakui matlamat kemenangan bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai calon PAS, namun Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin PAS tetap mampu memenangi kerusi berkenaan.

"Walaupun nak menang payah tetapi tidak mustahil boleh berlaku kerana PAS pernah menang ketika PRK di DUN Teluk Pasu pada 1989 dan DUN Arau, Perlis pada 1998.

"Kemenangan itu tidak mustahil tetapi tidak mudah dan kita harap gelombang yang berlaku di PRK DUN Sungai Kandis akan dibawa di Seri Setia dan kalau berlaku gelombang ini, insya-Allah, kemenangan akan berpihak pada kita.

"Ketika PRK Sungai Kandis, calon yang bertanding adalah Barisan Nasional (BN) dan kita bekerjasama. Walaupun BN kalah namun ada penambahan sokongan pengundi hasil kerjasama antara PAS dan BN," katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di sini hari ini.

Pada PRK DUN Sungai Kandis yang diadakan 4 Ogos lalu, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi kerusi DUN berkenaan apabila meraih 15,427 undi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).

PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Sri Muda untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi apabila meraih 23,998 undi mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) yang menerima 7,573 undi dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) yang hanya mendapat 76 undi.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH, Halimey Abu Bakar dan Dr Halimah Ali daripada PAS.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi PRK DUN Seri Setia dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada jam 6.28 petang pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Berita Harian X