Sabtu, 8 September 2018 | 9:20pm
CALON PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali. - Foto BERNAMA

Peningkatan undi calon PAS bukti sokongan UMNO - penganalisis

KUALA LUMPUR: Peningkatan undi diterima calon PAS, Dr Halimah Ali bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini membuktikan kerjasama UMNO dan PAS bukanlah cakap kosong semata-mata.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof, berkata apa yang berlaku di Seri Setia hari ini membuktikan PAS mendapat sokongan penuh daripada ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Sudah jelas dan teranglah apa yang diperkatakan pemimpin UMNO mahupun PAS selama ini adalah apa yang dirasai dan dimahukan ahli parti yang menterjemahkannya kepada undi terhadap calon PAS di Seri Setia.

“Ini memberi satu petunjuk positif terhadap lebih banyak kerjasama yang akan dijalinkan antara kedua-dua parti selepas PRK ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Dr Halimah yang memperoleh 9,698 undi tewas kepada calon PH, Halimey Abu Bakar dengan majoriti 4,027 undi.

Pencapaian itu meningkat lebih sekali ganda daripada 4,563 undi diterima calon PAS, Mohd Ghazali Daud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia apabila memperoleh 29,250 undi.

Berita Harian X