X
Sabtu, 8 September 2018 | 11:50pm
PERDANA Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta kepimpinan PPBM pada Majlis Ulangtahun ke-2 PPBM di Stadium Malawati. - Foto Luqman Hakim Zubir
PERDANA Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta kepimpinan PPBM pada Majlis Ulangtahun ke-2 PPBM di Stadium Malawati. - Foto Luqman Hakim Zubir

Masyarakat Melayu perlu akui, perbaiki salah sendiri - Dr Mahathir

SHAH ALAM: Masyarakat Melayu perlu menyoal diri sendiri dan menilai kesalahan dilakukan supaya mudah untuk membetulkan diri daripada meminta ia diperbetulkan oleh orang lain, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, jika masyarakat Melayu dapat mengakui kesalahan sendiri, ia perlu diperbetulkan.

Dengan mengaitkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kecil dan tidak memuaskan, Dr Mahathir berkata, banyak kesalahan yang dilakukan masyarakat Melayu termasuk tidak bekerja sekuat orang lain serta kerap kali tidak ambil berat tanggungjawab masing-masing.

"Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh Kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

"Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan. Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan saja kita tidak kerja keras tetapi kerap kali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita. Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak.

"Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas. Kita

lebih suka serah kerja kepada orang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Kedua BERSATU di Stadium Malawati di Shah Alam, malam ini.

Yang turut hadir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Perdana Menteri juga menegur sikap masyarakat Melayu yang kurang beramanah, serta tidak berasa bertanggungjawab dengan apa yang diamanahkan kepada mereka selain mudah mungkir janji.

Beliau berkata, masyarakat Melayu juga tidak segan-segan mengambil barangan atau duit yang bukan milik mereka.

"Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik. Demikian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukan banyak yang kita diminta bayar balik, sedikit saja.

"Kita mampu, kalaupun gaji kita hanya RM2,000 sebulan apalah sangat RM100 sebulan... hanya lima peratus, tetapi yang dapat lebih dari itu pun tidak bayar, lokek.

"Walau apapun alasan yang diberi, hakikatnya kita tidak bayar hutang. Bagi kita ini perkara kecil tetapi bagi bangsa kita, ia memburukkan kepercayaan kepada kita.

"Hutang yang tidak dibayar oleh peminjam PTPTN berjumlah RM36 billion, hampir sama dengan jumlah wang 1MDB yang dicuri," katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata, tindakan itu menyebabkan bank tidak sanggup memberi hutang kepada masyarakat Melayu kerana percaya mereka tidak akan membayarnya sehingga menyebabkan peniaga Melayu berdepan masalah mendapatkan modal.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, sebagai salah satu parti dalam kerajaan campuran, pihaknya akan menggubal dasar dan peluang serta mengadakan kemudahan bagi masyarakat Melayu meningkatkan prestasi mereka.

Namun, katanya, kerajaan akan menentukan apa yang disalurkan kepada masyarakat Melayu tidak disalah gunakan selain tidak teragak-agak mengambil tindakan.

"Kita akan tentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman saja akan diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender. CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang, termasuk hutang PTPTN.

"Mereka yang berjaya mendapat lesen, AP, kontrak dan lain-lain mesti laksanakan sendiri. Jika dijual atau dipindah kepada orang lain, sama ada Melayu atau bukan, maka lesen, AP, kontrak akan dibatalkan.

"Sokongan dari Menteri atau pembesar akan diketepikan. Ini termasuk sokongan oleh Perdana Menteri.

"Parti BERSATU tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utama apa diri kita dapat, keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi

negara maju, tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X