Ahad, 9 September 2018 | 2:43pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Imran Mahkzan

Sokongan rakyat mula berubah - Hadi

KUALA TERENGGANU: PAS menghormati keputusan dibuat rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata walaupun kemenangan memihak kepada calon PKR, Helimey Abu Bakar, keputusan itu memberi isyarat awal perubahan sokongan rakyat kepada perjuangan PAS.

Beliau berkata, peratusan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab yang rendah adalah petanda undi protes kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun calon PAS, Dr Halimah Ali gagal memenangi kerusi DUN Seri Setia, tetapi kita bertekad untuk terus memperjuangkan nasib rakyat,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Pada PRK DUN Seri Setia semalam, PKR berjaya mempertahankan kerusi dengan majoriti 4,027 undi selepas calonnya, Helimey, memperoleh 13,725 undi, manakala Halimah mendapat 9,698 undi.

Hanya 44.1 peratus atau 23,423 daripada 50,692 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tetap menjadi pembangkang yang menasihat serta sedia bekerjasama dengan semua pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.

“PAS mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya termasuk daripada kalangan UMNO dan MIC serta pengamal media serta pasukan keselamatan kerana memberi sokongan dan kerjasama,” katanya.

Berita Harian X