Ahad, 9 September 2018 | 4:07pm
KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

PRK Seri Setia bukti kerjasama UMNO-PAS tepat

KUALA LUMPUR: Peningkatan ketara jumlah undi diterima calon PAS, Dr Halimah Ali, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, membuktikan kerjasama antara parti Islam itu dengan UMNO adalah langkah tepat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata peningkatan undi sekali ganda berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menterjemahkan kehendak ahli UMNO dan PAS untuk menjalin permuafakatan serta persefahaman.

Katanya, keputusan PRK itu juga adalah petunjuk bagi UMNO dan PAS menjalin kerjasama bukan saja pada peringkat kepemimpinan parti, tetapi juga dalam kalangan akar umbi kedua-dua parti.

“Keputusan PRK DUN Seri Setia menjadi titik tolak penting dalam menunjukkan keikhlasan peringkat kepemimpinan PAS untuk terus duduk bersama dengan UMNO bagi mencari titik persamaan sepenuhnya.

“Apa pun, PRK DUN Seri Setia dan Sungai Kandis menjadi suatu ‘referendum’ (pungutan suara) rakyat melalui peningkatan jumlah undi masing-masing yang diraih calon PAS dan UMNO.

“Ini berlaku dalam suasana rakyat tidak puas hati dengan apa yang berlaku, terutama membabitkan isu kepentingan Melayu dan Islam, apatah lagi 70 peratus janji manifesto Pakatan Harapan (PH) masih belum tertunai dalam tempoh 100 hari pentadbiran yang berakhir 17 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan PRK DUN Seri Setia semalam menyaksikan calon PH, Halimey Abu Bakar, 46, memperoleh 13,725 undi untuk menewaskan calon PAS, Dr Halimah, 58, yang meraih 9,698 undi.

Kerjasama antara PAS dan UMNO pasca PRU-14, mula dilihat apabila PAS memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calonnya bertanding di PRK DUN Sungai Kandis, awal bulan lalu.

PRK DUN Seri Setia pula menyaksikan kerjasama antara UMNO dan PAS melonjak ke tahap lebih tinggi apabila parti keramat Melayu itu menurunkan jenteranya bagi membantu PAS sepanjang tempoh 21 hari kempen.

Berita Harian X