Ahad, 9 September 2018 | 4:20pm
CALON PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali. - Foto Rohanis Shukri

Jika UMNO turun kempen, PAS boleh menang

SHAH ALAM: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali, yakin parti itu akan menang jika lebih ramai pemimpin UMNO turun membantu kempen.

Beliau berkata, PAS sememangnya mengharapkan undi ahli UMNO di DUN Seri Setia, namun parti itu sedar tidak boleh meletak harapan tinggi kerana kedua-dua parti itu baru saja ‘berkenalan’ antara satu sama lain.

“Jika ramai pemimpin UMNO turun berkempen, mungkin (boleh tambah undi), tetapi itulah saya katakan, kita baru nak berkenalan. Macam orang nak kahwin, mula-mula kena lalui fasa perkenalan dulu.

“Kita baru berkenalan dalam tempoh tiga minggu ini, nak (tengok) okey ke tak. Ia bukan mudah selepas 60 tahun PAS dan UMNO berlawan. Tidak boleh beria-ia sangat sebab baru tiga minggu kenal,” katanya pada sidang media pasca PRK Seri Setia di Bilik Gerakan PAS TTDI Jaya di sini, hari ini.

Semalam, calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Halimey Abu Bakar memenangi PRK DUN Seri Setia apabila memperoleh 13,725 undi menewaskan Dr Halimah yang memperoleh 9,698 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon PKR, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).

Dalam pada itu, Dr Halimah, yang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, walaupun peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Seri setia tidak sampai 45 peratus, jumlah undi yang diterima beliau jauh lebih tinggi berbanding PRU-14.

“Alhamdulillah kita boleh mencapai undi 9,000 lebih maknanya lebih 100% undi PAS meningkat berbanding PRU-14. Sebab itu PAS melihat ada kesan positif kerjasama dengan UMNO.

“Selain itu, ia juga adalah isyarat kepada HARAPAN supaya ambil tahu dengan apa yang dialami oleh rakyat selepas menang dengan majoriti kurang,” katanya.

Tambah Dr Halimah, PAS turut menang saluran TTDI Jaya, Sungai Way, Seksyen 5 Petaling Jaya, termasuk undi pos serta undi awal tentera dan polis.

“Malah kita juga melihat terdapat saluran anak muda yang memberi undi kepada PAS, ini menunjukkan anak muda semakin ramai yang mengundi PAS, sekali gsu membuktikan mereka sudah pandai menilai, tidak seperti PRU-14,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa kemenangan HARAPAN di DUN Seri Setia dipengaruhi faktor ‘3M’ iaitu money’,`machinery’ dan media.

“Sumber kewangan kita amat terhad. Semuanya dari poket ahli sendiri. Setiap hari berapa kali berita membabitkan calon HARAPAN disiarkan dalam media.

“Machinery’ juga digunakan apabila pelbagai program kerajaan negeri dianjurkan di Seri Setia seperti memberi bantuan kepada anak yang melanjutkan pengajian ke universiti. Ia belum dikira dengan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri yang turun berkempen,” katanya.

Berita Harian X