Isnin, 17 September 2018 | 3:38pm
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia , Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menjawab soalan media pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia turut bersama timbalannya Shahril Sufian Hamdan (kiri) di Ibu Pejabat UMNO Malaysia ,Menara Dato' Onn. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pasukan petugas khas teliti syor kerjasama UMNO-PAS

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperhalusi konsep, syor dan pandangan ke arah membentuk kerjasama dengan PAS.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Katanya, ia susulan wujud rasa ‘tidak selesa’ dalam kalangan akar umbi Pemuda UMNO terhadap konsep kerjasama atau permuafakatan UMNO dengan PAS seperti dizahirkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Kuala Nerus, Terengganu beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut menyedari wujud rasa tidak senang Pemuda PAS terhadap cadangan kerjasama itu walaupun pucuk kepemimpinan kedua-dua parti dilihat optimis ke arah permuafakatan itu.

“Kita setuju pada peringkat ini untuk wujudkan pasukan petugas khas mewakili Pemuda UMNO untuk meneliti nilai dan soal kerjasama UMNO dan PAS termasuk keputusan yang dicapai ketika persidangan Pemuda dalam Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini.

“Pasukan petugas khas ini akan memperhalusi segala aspek menyentuh soal kerjasama UMNO dan PAS dengan mengambil kira pandangan suara hati rakyat serta akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Kali Ketiga Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kerjasama UMNO dengan PAS bukan gabungan politik bersifat tahaluf siyasi, sebaliknya ia dibentuk dalam kerangka gagasan parti pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyatakan permuafakatan antara PAS dan UMNO adalah atas konsep ‘taawun’ iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menyambut baik usaha kerjasama UMNO dengan PAS walaupun menyedari ada yang ‘tidak selesa’ dengan perkembangan itu.

Katanya, hubungan kerjasama UMNO dan PAS itu harus difahami dan diterjemah dalam bentuk penyatuan ummah serta bukan menyentuh soal perebutan politik memandangkan kedua-dua parti berpisah sejak 40 tahun lalu.

“Ia bukan soal percaturan politik yang akhirnya menjerat dalam perebutan kuasa, ini tuntutan agama dan Islam supaya kita bersatu dan muafakat.

“Penyatuan ummah ini juga tidak beri isyarat kita akan melakukan kezaliman atau mendominasi atau memandang enteng agama dan bangsa lain, sebaliknya ia menjadi tunjang kepada kekuatan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau membidas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan PAS adalah ‘pelampung penyelamat’ kepada UMNO selepas tidak lagi menjadi kerajaan.

“Kami boleh kata nasib baik UMNO ada, kerana yang memerintah negara selama 61 tahun adalah UMNO.

“Tidak siapa boleh nafikan kecemerlangan Islam sehingga dinobatkan sebagai model negara Islam yang progresif dan negara Islam yang bersifat seimbang dan cemerlang. Siapa memimpin selama 60 tahun?

“Saya tidak ingat kalau PAS yang menerajui negara dari segi Islam. Tapi hakikatnya yang terajui Islam selama 60 tahun adalah UMNO.

“Kita boleh bercakap kepada ahli segala andaian dan gambaran tetapi akhirnya sejarah tetap sejarah,” katanya.

Sempena Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini, Asyraf Wajdi berkata, seramai 1,000 perwakilan daripada 191 bahagian UMNO akan hadir dalam Persidangan Pemuda.

Berita Harian X