Rabu, 26 September 2018 | 10:39pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tengah) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dan Menteri Besar Terengganu merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) semasa sidang media berhubung keputusan calon PAS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Ibu Pejabat PAS, Rusila. - Foto Ghazali Kori
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tengah) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dan Menteri Besar Terengganu merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) semasa sidang media berhubung keputusan calon PAS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Ibu Pejabat PAS, Rusila. - Foto Ghazali Kori

PAS letak calon di PRK Port Dickson

MARANG: PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat sebentar tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua perkara termasuk meneliti dan mendengar laporan dan maklumat daripada Jawatankuasa Pilihan Raya.

Katanya, calon yang akan diumumkan malam esok adalah seorang tokoh yang sepadan dengan pencabarnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS bertanding kerana mahu menghidupkan demokrasi, PAS adalah parti yang mendukung demokrasi dan mahu rakyat ada pilihan dalam menentukan pemimpin mereka walaupun kita tidak bersetuju dengan pilihan raya yang dilakukan secara tergesa-gesa.

“Sekurang-kurangnya PRK Port Dickson sebagai medan melatih petugas parti menghadapi pilihan raya.

“Tidak mudah untuk menang tetapi tidak mustahil boleh menang,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, parti itu mengambil kira gelombang PRK Sungai Kandis dan Seri Setia yang menyaksikan kebangkitan rakyat terhadap rasa tidak puas hati mereka terhadap Pakatan Harapan.

"Kita ajak semua parti bekerjasama pada PRK ini. Calon PAS ini orang yang mempunyai pengaruh," katanya.

Sebelum ini, katanya PAS memberi laluan kepada UMNO dan MIC bertanding, namun apabila tiada calon dicadangkan, PAS mengambil keputusan untuk tidak memberi kemenangan percuma kepada Anwar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson diadakan pada 13 Oktober ini dan hari penamaan calon Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober.

Selain Anwar dan calon PAS, setakat ini Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga mengesahkan akan meletakkan calon dan seorang lagi calon ialah personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong.

Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Kumar yang sebelum ini mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas menarik diri hari ini.

Isnin lalu, Barisan Nasional (BN) sebulat suara memboikot PRK Parlimen Port Dickson dengan tidak meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata parti itu bukan saja tidak meletakkan calon, malah tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli untuk menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X