Khamis, 27 September 2018 | 4:47pm
Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar. - Arkib NSTP

Patuhi peraturan pilihan raya - SPR

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, ia bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, harmoni dan tidak ada gangguan.

“Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] memperuntukkan mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan semasa Hari Penamaan Calon seperti penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan.

“Orang ramai juga adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata SPR berharap proses penamaan calon akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.

Sementara itu, Mohamed Elias berkata, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Kertas penamaan calon yang sudah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus oleh salah seorang daripada calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Selain itu SPR turut mengingatkan bakal calon yang hendak membayar Deposit Pilihan Raya iaitu sebanyak RM10,000 boleh berbuat demikian secara deraf bank atau secara tunai kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan.

“Bayaran deposit juga boleh dibuat sebelum Hari Penamaan Calon dan mereka perlu membawa resit berkenaan pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran,” katanya.

Katanya, bagi bakal calon yang bertanding mewakili parti politik, mereka diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti.

PRK Port Dickson diadakan susulan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPR menetapkan PRK Parlimen Port Dickson diadakan pada 13 Oktober ini dan hari mengundi awal pula pada 9 Oktober ini.

Berita Harian X