Jumaat, 28 September 2018 | 2:16pm
PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto BERNAMA

Anwar bukan cabaran buat PAS - Abdul Hadi

MARANG: PAS tidak gentar berdepan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana parti itu berpengalaman menewaskan calon jauh lebih besar.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS tidak terkesan dengan tindakan pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) memperlekeh dan merendahkan kemampuan calon parti itu yang dikatakan tidak setanding dengan Ketua Umum PKR itu.

Beliau berkata, PAS pernah melakar kemenangan menewaskan calon lebih besar dalam pilihan raya termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi kerusi Parlimen Kota Star Selatan, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 menerusi calonnya, Yusuf Rawa.

“Kita tidak gentar hadapi Datuk Seri Anwar. Kita pernah lawan dan hadapi orang yang lebih besar. Dr Mahathir kita pernah lawan.

“Tahun 1969 kita pernah kalahkan Dr Mahathir di Kota Star Selatan. Jadi tak mustahillah kita juga boleh kalahkan Anwar di Port Dickson,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Hasan Baharom dilaporkan berkata, PAS bukan saingan PH dan Anwar diramal menang mudah dalam PRK Port Dickson 13 Oktober ini.

Beliau dilaporkan berkata, PAS bertanding hanya kerana tidak mahu memberi kemenangan mudah buat Anwar.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pihak yang melihat PAS bukan tandingan buat Anwar pada PRK Port Dickson perlu sedar kemenangan calon terletak di tangan rakyat.

“Yang akan menentukan ialah rakyat. Kita kena sedar, satu undi, satu suara yang akan menentukan. Walaupun lebih satu undi pun sudah boleh menang. Dalam negara demokrasi ini, orang ada masalah penglihatan pun boleh mengundi asalkan ada akal fikiran,” katanya.

Beliau berkata, PAS menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan calonnya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar untuk memenangi PRK Port Dickson, berdasarkan kriteria yang memenuhi sentimen setempat.

Abdul Hadi berkata, walaupun Mohd Nazari merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor bukan calon tempatan dan PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan lebih empat penjuru, PAS yakin mampu mencapai kemenangan walaupun mengakui ia bukan mudah.

“Yang pertama, Port Dickson ialah kawasan tentera. Kem tentera pun ada di situ. Bekas tentera pun ramai di situ. Yang kedua, kita dapat sokongan banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik yang mendukung kita supaya bertanding selepas UMNO tidak bertanding.

“Jadi atas dukungan ini, kita letak calon dan pilih seorang bekas pegawai tentera,” katanya.

Ditanya mengenai rekod Mohd Nazari yang pernah beberapa kali tewas ketika bertanding dalam PRU, Abdul Hadi berkata ia kerana Johor sebelum ini diketahui sebagai lubuk UMNO.

“Itu di Johor (kekalahan Mohd Nazari dalam PRU). Johor kita tahulah kubu kuat UMNO. Di Port Dickson, kita lihat kawasan ini bukan majoriti orang Islam. 40 peratus Islam, 30 peratus Cina dan 20 peratus India.

“PAS ada Dewan Himpunan Cina dan India, jadi kita boleh gerakkan ini untuk jadi jentera parti. Kita juga ada empat cawangan di situ,” katanya.

Berita Harian X