Sabtu, 29 September 2018 | 12:40pm
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar ketika perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda sempena Persidangan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Ikhwan Munir

UMNO tewas bukan kerana musuh kuat tapi kesilapan pemimpin, ahli

KUALA LUMPUR: Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan kerana kelemahan parti sebaliknya disebabkan kesilapan, salah laku pemimpin dan ahli sendiri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kekalahan itu bukan juga disebabkan kekuatan musuh politik parti.

“Kita menerima kekalahan ini dengan penuh sedar dan insaf, sebagai takdir yang telah ditentukan oleh Allah Azza Wajalla. Inilah hukuman rakyat kepada kita.

“Dahulu, mereka mendukung dan mengangkat kita tetapi kerana sikap kealpaan kita, mereka menolak dan hilang keyakinan terhadap kita, lantas dengan mudah rakyat memberikan undi mereka kepada lawan kita.

“Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka Allah SWT menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit sekali.

“Kerana pangkat dan kuasa, kita berantakan sesama sendiri. Kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup kita perjudi dan khianati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Persidangan Pemuda UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Asyraf Wajdi juga berkata, pihak yang harus dipersalahkan adalah pendukung dan pemegang amanah perjuangan UMNO yang mengkhianati serta menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman Islam.

“Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa.

“Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan,” katanya.

Berita Harian X