Sabtu, 29 September 2018 | 10:00pm
TIMBALAN Pengerusi PH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan (tengah) ketika mengumumkan pelantikan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (tiga dari kiri) sebagai pemangku Pengerusi PH Negeri Johor. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Osman pemangku Pengerusi PH Johor

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilantik memangku jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor bagi menggantikan sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perlantikan itu diumumkan Timbalan Pengerusi PH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan yang berkuat kuasa serta-merta.

“Saya menjalankan tanggungjawab diberi oleh Tan Sri Muhyiddin yang mencadangkan supaya PH negeri mengadakan mesyuarat bagi melantik pemangku Pengerusi PH Johor.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan permintaan pengerusi sendiri yang masih dalam keadaan menjalani rawatan dan untuk mengambil bebanan tugas beliau sementara beliau tiada ini.

“Kami sebulat suara melantik Datuk Osman Sapian bagi memangku jawatan Pengerusi PH negeri serta-merta,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan satu mesyuarat ringkas di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor di sini, hari ini.

Osman yang juga Setiausaha PH Johor menzahirkan sukacitanya atas kepercayaan semua parti komponen PH yang memberi sokongan dalam beliau menjalankan tugas memangku jawatan berkenaan.

“Saya berjanji akan menggalas dan menjalankan tugas ini sebaik mungkin demi melihat PH bukan saja menjadi parti yang kukuh, tetapi kita kekal dengan kuasa Kerajaan Negeri Johor di masa depan.

“Untuk merealisasikan harapan parti, kita perlu kerja kuat dan buat satu perancangan bagi memenuhi hasrat rakyat yang memilih PH pada pilihan raya yang lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan sokongan PH negeri kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding merebut kerusi Parlimen Port Dickson.

“Kita akan menghantar wakil PH bagi sama-sama berkempen untuk memastikan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kita yakin penuh akan kemenangannya,” katanya.

Berita Harian X