Ahad, 30 September 2018 | 4:28pm
PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PH sedia hadapi serangan siber

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) akan meningkatkan persiapan menghadapi kemungkinan tindakan sabotaj dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata pasukan khas diwujudkan bagi memantau perkara meragukan membabitkan calon PH yang disebarkan menerusi pelbagai medium termasuk media sosial.

“Kita menerima laporan mengenai cubaan menggodam laman Facebook PH.

“Oleh kerana pernah melalui pengalaman sama pada pilihan raya lalu, kita akan sentiasa berwaspada dengan meningkatkan tahap keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kaji selidik khusus turut dibuat bagi melihat sentimen pengundi terhadap calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita baru memulakan kaji selidik dan maklumat awal yang dikumpul menampakkan keputusan positif.

“Kita akan berusaha menyebarkan maklumat supaya lebih ramai pengundi terutama yang tinggal di luar Port Dickson pulang mengundi pada 13 Oktober ini,” katanya.

Berita Harian X