Jumaat, 5 Oktober 2018 | 5:36pm
ANWAR bersalaman bersama jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama anggota PUSASDA di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Anwar, Saiful tunai solat Jumaat di masjid sama

PORT DICKSON: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini ‘terserempak’ apabila kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama.

Calon Bebas Mohd Saiful Bukhari dan calon Pakatan Harapan (PH) Anwar tiba Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, masing-masing pada jam 12.50 dan 1.05 tengah hari.

Kedua-dua calon itu dilihat beramah mesra bersama jemaah masjid yang majoritinya adalah anggota tentera sebelum duduk berasingan bagi mendengar khutbah Jumaat bertajuk “Perjuangan Menegakkan Akidah” yang disampaikan oleh khatib, Mejar Anuar Mohd Ehwal.

Solat Jumaat yang disertai 800 jemaah turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PH dan PKR negeri Aminuddin Harun dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali.

Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantu peribadi Anwar antara tujuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

SAIFUL Bukhari Azlan ketika solat di Masjid Pusasda. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Selain Anwar dan Saiful Bukhari, PRK itu turut disertai calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon Bebas lain termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat itu berkata kehadirannya ke Port Dickson hanyalah sebagai pemerhati dan menafikan akan berkempen untuk Anwar.

“Sebagai pemerhati politik berpengalaman, saya berpendapat Anwar akan menang mudah… orang Port Dickson tahu dia (Anwar) bakal perdana mentari yang kelapan, tolak Anwar ibarat menolak rezeki.

“Saya banyak kali bertanding sebagai calon Bebas dan saya tak pernah menang… di sini pun (PRK Port Dickson) saya percaya perkara sama akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, kehadiran bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengejutkan Anwar ketika beliau sedang berjalan keluar daripada dewan solat.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lalu, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan (9 Oktober) sebagai hari pengundian awal. - BERNAMA

Berita Harian X