X
Sabtu, 6 Oktober 2018 | 7:46pm
AZHAR Azizan Harun. - Foto NSTP
AZHAR Azizan Harun. - Foto NSTP

262 kertas undi pos bagi PRK Port Dickson dikeluarkan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 1 Oktober lalu mengeluarkan sebanyak 262 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata pengeluaran itu dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Ruang Legar Aras 7, Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson meliputi beberapa kategori undi pos.

Beliau berkata kategori itu termasuk Pemilih Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa dan pasangannya membabitkan seramai 16 pengundi di United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan, Taiwan, Jerman dan Korea Selatan.

“Selain itu, permohonan Borang 1A membabitkan petugas pilihan raya, polis dan tentera adalah seramai 243 pengundi yang masing-masing merangkumi 166 petugas pilihan raya, anggota polis, 23; dan anggota tentera, 54.

“Ini juga termasuk permohonan Borang 1B membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara iaitu seramai tiga pengundi daripada Australia, manakala tiada pengeluaran bagi kategori Borang 1C iaitu anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan kerana tiada permohonan diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH), PAS dan wakil calon bebas.

“SPR juga menjemput pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu, bagaimanapun tiada pemerhati yang hadir ke sesi itu.

“Kertas undi di bawah kategori PTH dan 1B telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia manakala di bawah 1A diuruskan oleh pegawai bertanggungjawab masing-masing. Semua penghantaran dibuat kepada pengundi terbabit pada hari sama iaitu pada 1 Oktober lalu.

“SPR mengingatkan kepada pengundi pos terbabit agar menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 13 Oktober 2018 bersamaan hari Sabtu,” katanya.

Berita Harian X