Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:53pm
AZHAR pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Port Dickson di Kem Tentera Pusasda Port Dickson, Negeri Sembilan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Anwar masih calon PRK - SPR

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih sah bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson walaupun berdepan pelbagai proses perundangan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata SPR berpendirian begitu walaupun statusnya sebagai calon dipersoalkan pelbagai pihak.

Katanya, SPR menerima pencalonan Anwar berdasarkan pengampunan penuh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengikut Peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, kami sedar mengenai proses perundangan yang sedang berlangsung di mahkamah, jadi terpulang kepada hakim membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Seramai 7,191 tentera dan polis mengundi awal di tiga pusat mengundi iaitu PUSASDA, Kem Segenting serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan sehingga jam 12 tengah hari, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 44 peratus.

Azhar berkata, sepanjang proses PRK Port Dickson, pihaknya hanya menerima laporan dan aduan mengenai penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan oleh calon.

Bagaimanapun, katanya, SPR tidak mempunyai kewajaran dan asas untuk memberi kenyataan berkenaan perkara itu.

Diminta mengulas mengenai laporan polis oleh calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, kononnya Anwar memberi sogokan kepada pengundi menerusi program tuisyen percuma, Azhar mengakui mengetahui mengenai perkara itu.

“Biarkan polis siasat ikut undang-undang perkara ini kerana kami tiada maklumat mengenai program terbabit.

“Saya lihat pengundi kini semakin ada kesedaran mengenai isu semasa dan ia demokrasi yang sihat,” katanya.

Mengenai jumlah undi awal anggota tentera yang berdepan kekeliruan pada awalnya, Azhar berkata jumlah yang dikeluarkan oleh pihaknya lebih tepat kerana dikemas kini pada 11 September lalu.

Berita Harian X