Selasa, 30 Oktober 2018 | 12:16pm
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Fathil Asri

PAS pertahan hak keistimewaan orang Melayu

KOTA BHARU: Kerajaan negeri di bawah PAS tetap mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu terutama berkaitan tanah rizab walaupun Kerajaan Persekutuan berhasrat melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tahun depan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata walaupun kerajaan negeri masih belum berbincang mengenai pendirian terhadap ICERD, namun pihaknya berpegang teguh kepada kandungan perlembagaan negara dan ia perlu dipertahankan.

“Perlembagaan negara ada perkara yang perlu dipertahankan untuk kepentingan rakyat Malaysia antaranya Perkara 153 dan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, tanah rizab Melayu serta hak keistimewaan orang Melayu.

“Ini adakah pendirian kita untuk mempertahankan, begitu juga PAS sejak dulu lagi kerana tanah rizab Melayu adalah milik orang Melayu,” katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan sikap kerajaan negeri terhadap ICERD yang akan menyebabkan hak keistimewaan Melayu terutama tanah rizab Melayu akan hilang.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengesahkan Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah, daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Terdahulu, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor ketika menjawab soalan mengenai jumlah keluasan sebenar tanah rizab Melayu di negeri ini, berkata sebanyak 1.3 juta hektar tanah terbabit membabitkan 90 peratus daripada keluasan Kelantan.

“Sehingga kini tiada tanah rizab Melayu yang dibatalkan statusnya walaupun tanah terbabit diberi pajakan kepada orang bukan Melayu untuk diusahakan,” katanya.

Berita Harian X