Isnin, 5 November 2018 | 1:07am

Wee Ka Siong dipilih Presiden MCA

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dipilih sebagai Presiden MCA bagi penggal 2018-2021 apabila memenangi pemilihan MCA yang berlangsung semalam.

Timbalan Presiden MCA itu memperoleh 447 undi mengalahkan dua pesaingnya iaitu bekas Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu dengan 182 undi manakala Ngoo Teck Keong tidak mendapat sebarang undi.

Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang memperoleh 428 undi menewaskan Timbalan Pengerusi MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong, 201 undi.

Jawatan Naib Presiden bagi penggal 2018-2021 pula dimenangi Datuk Lim Ban Hong, Datuk Tan Teik Chong, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Datuk Yew Teong Look.

Keputusan rasmi pemilihan diumumkan Ketua Pengarah Pentadbiran MCA, Datuk Lim Chin Hai sejurus selepas proses pengiraan undi selesai pada jam 1 pagi ini.

Mengulas kemenangan itu, Ka Siong menyifatkan ia adalah kepercayaan yang diberi akar umbi kepada beliau.

"Kemenangan ini adalah 'endorsement dan pada masa sama memberi suntikan semangat kepada kami untuk memimpin parti.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan berharap, pasukan yang baharu dipilih ini bersedia menggalas tanggungjawab berat yang diberikan akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan MCA.

"Tidak kira pihak yang menang atau kalah, semua perlu bekerjasama demi masa depan dan kebaikan parti," katanya kepada media di Pusat Penjumlahan Undi di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Menurut Ka Siong lagi, semua pihak perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik selain meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya.

Justeru kata beliau, keputusan pemilihan itu perlu dihormati kerana yakin perwakilan sudah membuat perbincangan dan meneliti pencapaian setiap calon yang bertanding.

"Mengenai percaturan barisan kepimpinan, ia masih terlalu awal dan akan ditentukan dalam mesyuarat yang bakal diadakan kelak.

"Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai dan barisan kepimpinan terdahulu yang memberi khidmat terbaik untuk penggal sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, Ka Siong adalah satu-satunya calon MCA yang memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU 14, Mei lalu.

Sebelum ini, Tiong Lai selaku Presiden MCA, mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan parti itu kerana mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, 31 jawatan bagi sayap Wanita termasuk ketua, timbalan ketua, empat naib ketua dan 25 ahli jawatankuasa pusat pergerakan itu menang tanpa bertanding.

Ia sekali gus menyaksikan Datuk Heng Seai Kie sekali lagi mempertahankan jawatan Ketua Wanita MCA.

Pada pemilihan kelmarin, Nicole Wong Siaw Ting merekodkan sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA selepas menewaskan Ng Kian Nam.

Difahamkan, 66.27 peratus atau 21,468 daripada keseluruhan 32,000 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, semalam.

Ia membabitkan pemilihan di 188 bahagian di seluruh negara.

Pemilihan kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila menggunakan sistem pengundian secara terus seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat.

WEE Ka Siong (kiri) bersama Mah Hang Soon meraikan kemenangan jawatan Presiden MCA dan Timbalan Presiden MCA sempena Pemilihan Jawatankuasa MCA (2018-2021) di Wisma MCA, Jalan Ampang. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X