Selasa, 6 November 2018 | 3:55pm

UMNO lancar jentera PRK Rantau

REMBAU: Walaupun mahkamah belum membuat keputusan terhadap petisyen pembatalan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, UMNO hari ini melancarkan jentera pilihan raya sebagai persediaan awal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jentera itu ditubuhkan bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Walaupun setakat ini belum ada keputusan terhadap petisyen itu, tetapi kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Memandangkan rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti dari Rembau, jadi pelancaran jentera amat sesuai dilakukan hari ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Pemimpin UMNO di Rantau di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, Zahid ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau akan turun padang bersama-sama akar umbi UMNO sekiranya PRK Rantau diadakan.

“Saya akan berkampung di Rantau bagi membantu Tok Mat (Mohamad) mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Saya yakin kelahiran semula UMNO akan bermula di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pembentangan Belanjawan Alternatif Pembangkang 2019 akan dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan BN, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui, berkata beliau menjangkakan keputusan petisyen PRK itu akan diputuskan pada minggu hadapan.

“Kita bukan tidak yakin atau mahu mendahului keputusan mahkamah, kalau tiada PRK syukur Alhamdulillah. Tetapi jentera ini akan digerakkan untuk kita bangkitkan semula UMNO,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR bagi PRU-14, Dr S Streram mengemukakan petisyen supaya satu PRK diadakan serta-merta kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus (reponden kedua) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)( responden ketiga).

DR Ahmad Zahid bergambar bersama ahli UMNO pada Majlis Perjumpaan Khas bersama ahli UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Rantau Eco Park Kuala Sawah, Negeri Sembilan. Turut bersama Mohamad Hasan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
DR Ahmad Zahid bergambar bersama ahli UMNO pada Majlis Perjumpaan Khas bersama ahli UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Rantau Eco Park Kuala Sawah, Negeri Sembilan. Turut bersama Mohamad Hasan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X