Ahad, 11 November 2018 | 3:33pm
PENSYARAH Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali. - Foto Faiz Anuar
PENSYARAH Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali. - Foto Faiz Anuar

'Tak cukup sekadar minta maaf'

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu menganjurkan konvensyen untuk membincangkan hala tuju pelaksanaan manifesto bagi meraih keyakinan rakyat terhadap gabungan politik itu.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata penggal pertama pemerintahan kerajaan baharu amat penting bagi membuktikan kemampuannya mentadbir negara.

“Banyak isu yang dibangkitkan antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sehingga pengerusinya, terpaksa memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan janji seperti yang terdapat dalam manifesto PH.

“Walaupun kita boleh lihat kerajaan sedang berusaha, terdapat kekangan yang perlu diatasi berkaitan PTPTN dan juga perkara lain di dalam manifesto. Sebab itu saya berpendapat PH perlu melihat semula semua manifesto mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto PH.

Malah, beliau menggesa pucuk kepemimpinan parti gabungan PH mengadakan mesyuarat meja bulat untuk membincangkan hala tuju janji manifesto parti politik itu.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, majoriti rakyat memilih PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai alternatif kepada kerajaan terdahulu dan bukan kerana parti semata-mata.

“Mengenai isu PTPTN, mungkin kerajaan boleh memberi insentif kepada peminjam walaupun tidak dapat menunaikan janji supaya rakyat boleh melihat keikhlasan kerajaan.

“Hanya sebahagian rakyat boleh menerima alasan kekangan seperti yang dinyatakan kerajaan tetapi majoritinya pasti kecewa. Tidak cukup dengan sekadar minta maaf,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X