Selasa, 13 November 2018 | 12:52pm
MUHYIDDIN Yassin. - Foto BERNAMA

BERSATU terbuka kepada semua - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah berhasrat menarik mana-mana ahli UMNO menyertai PPBM seperti didakwa pembangkang.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata parti itu terbuka kepada semua individu dan tidak tertumpu kepada kalangan pemimpin dan ahli UMNO saja.

“BERSATU terbuka kepada semua, bukan UMNO saja. Yang bukan UMNO, mana-mana individu kalau mereka rasa mahu berjuang bersama BERSATU boleh sertai parti ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa ada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dilamar menyertai parti lain.

Muhyiddin berkata, BERSATU tidak berhasrat menubuhkan pasukan khas semata-mata untuk menarik pemimpin dan ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

“Kita tidak berhasrat menubuhkan pasukan khas untuk menggalakkan ahli UMNO sertai BERSATU. Itu bukan rancangan kita.

“Kalau ada pun mana-mana ahli UMNO yang mahu sertai BERSATU, ia tidak semestinya dari kalangan pimpinan tertinggi, ia boleh juga dari peringkat bahagian dan cawangan,” katanya.

Kelmarin, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas.

Berita Harian X