Jumaat, 16 November 2018 | 8:26pm
Timbalan Ketua AMK yang baharu, Hilman Idham, bersalaman bersama calon Ketua AMK yang juga bekas Timbalan Ketua AMK, Dr. Afif Bahardin, selepas pengumuman oleh JPP ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional PKR di IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dr Afif koyak 'cai' kem Rafizi

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin mengoyak kertas panduan mengundi (cai) kem calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli sebagai tanda memprotes budaya itu dalam pemilihan PKR.

Afif berkata, cai kini menjadi keutamaan dalam kempen sehingga membelakangkan nilai sebenar untuk memilih pemimpin berdasarkan idealisme, kelayakan dan kebolehan melakukan kerja.

Katanya, ada pihak yang sanggup bergaduh sesama sendiri demi mempertahankan cai terbabit.

“Di awal proses, kita tawar pelbagai manifesto seperti apa yang kita akan lakukan untuk kukuhkan parti.

“Namun, minggu kedua tiada siapa bicara mengenai manifesto, yang dibicara adalah cai, bukan lagi soal idealisme, siapa yang buat kerja atau tidak, siapa yang layak atau tidak,” katanya pada sesi penggulungan di Kongres Nasional AMK 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Afif yang tewas untuk calon Ketua AMK baharu turut menggesa supaya kepimpinan PKR mengkaji semula sistem pemilihan yang dilihat mempunyai kelemahan.

“Muhasabah diri, akui ada kelemahan demokrasi secara langsung yang kita amalkan kerana saya khuatir jika ahli kita mencapai lebih 1.6 juta apabila Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

“Kalau 850,000 ahli PKR ketika ini, sembilan minggu pemilihan diadakan, kalau 1.6 juta tidak tahu berapa tahun,” katanya.

Berita Harian X