Sabtu, 17 November 2018 | 11:50am
Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua. - Foto Surianie Mohd Hanif
Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua. - Foto Surianie Mohd Hanif

UPKO bukan punca BN jatuh - Loretto

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyangkal dakwaan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, mengenai kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) disebabkan tindakan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang belot.

Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua, berkata kekalahan BN Sabah bukan berpunca daripada UPKO, sebaliknya lebih kepada kehendak rakyat yang inginkan perubahan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan PRU-14 jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah muak dan menolak pemerintahan BN sehingga pembangkang mendapat majoriti kerusi berbanding BN yang hanya mendapat 29 kerusi.

Loretto yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata jika BN tidak menggunakan pelbagai taktik pada PRU-14, ia tidak mungkin boleh memenangi sehingga 29 kerusi.

“Saya masih ingat sejurus selepas kita menerima keputusan PRU-14, apabila pembangkang mendapat 31 kerusi berbanding BN, ada beberapa wakil rakyat daripada UMNO Sabah yang ingin bersama-sama WARISAN-Pakatan Harapan (PH) untuk melakar sejarah perubahan Sabah termasuklah UPKO.

“BN seharusnya sedar bahawa kekalahannya pada PRU-14 adalah satu kelegaan kepada rakyat dan janganlah menyalahkan pihak lain atas kekalahan akibat keburukan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin, Pairin ketika merasmikan Kongres PBS menuding jari terhadap UPKO sebagai punca kejatuhan kerajaan BN berikutan tindakan parti itu yang menyertai pakatan WARISAN-PH sehari selepas PRU-14 bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Selepas PRU-14, BN yang mendapat 29 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN Sabah, bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi mendapatkan majoriti mudah 31 kerusi untuk membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, kedudukan kerajaan BN hanya mampu bertahan dua hari sebelum diambil alih pakatan WARISAN-PH pada 12 Mei lalu apabila enam wakil rakyat BN termasuk daripada UMNO dan UPKO menyokong pembentukan kerajaan baharu diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berita Harian X