Sabtu, 17 November 2018 | 4:33pm
Dr Streram pada Kongres KEADILAN ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Puji Rafizi, Dr Streram ditegur perwakilan

SHAH ALAM: Perbahasan ucapan dasar presiden oleh perwakilan Negeri Sembilan, Dr S Streram pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di sini hari ini beberapa kali terganggu selepas mendapat laungan kritikan perwakilan.

Keadaan sedikit riuh itu tercetus apabila Naib Ketua PKR Cabang Rembau itu berterusan memuji Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas kira-kira lima minit berucap.

Ia bermula apabila Dr Streram mula mengimbas permulaan bagaimana Rafizi membantunya untuk diletakkan sebagai calon parti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) dan Rafizi kerana sebab dialah saya berada di pentas ini.

“Bila PRU-14 diumumkan, saya dipanggil saudara Rafizi yang bertanyakan adakah saya mahu menjadi calon di DUN Rantau dan selepas dipersetujui presiden, saya diberi (jadi calon).

“Kemenangan kita pada PRU-14 amat mengejutkan saya dan tidak dijangka. Satu-satunya orang yang menjangka kita boleh menang Putrajaya adalah Rafizi Ramli.

“Itulah hebatnya Rafizi Ramli,” katanya yang kemudian mengundang laungan kritikan perwakilan memintanya meneruskan sesi perbahasan.

Pada waktu ini, Dr Streram dilihat mulai gugup dan terganggu sehingga memaksa Timbalan Pengerusi Tetap Abdul Wahab Ibrahim memintanya fokus dan kembali pada ucapan perbahasan.

Calon PKR DUN Rantau pada PRU-14 itu kemudian meneruskan ucapan dengan meminta perwakilan daripada dua kem berbeza iaitu Rafizi dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersatu demi perjuangan parti.

“Kita kena bersatu, lupakan apa berlaku ketika pemilihan parti sebaliknya bergabung menjadi lebih hebat dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Dr Streram turut berjanji akan berusaha keras untuk memastikan kemenangan PKR sekiranya beliau sekali lagi dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

“Saya berjanji kita akan menang DUN rantau dan akan menambah satu kerusi lagi di Negeri Sembilan sekiranya dipilih sebagai calon,” katanya.

Mahkamah Tinggi Seremban semalam memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar, turut memutuskan supaya PRK di kawasan itu diadakan serta merta.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Dr Streram bagi kerusi DUN Rantau.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Berita Harian X