Selasa, 20 November 2018 | 2:45pm
JOSEPH Pairin Kitingan. - NSTP/Edmund Samunting

Pairin kekal penasihat GBS

KOTA KINABALU: Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kekal sebagai penasihat Gabungan Bersatu Sabah (GBS) walaupun pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mengumumkan persaraannya sebagai presiden dalam kongres parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung GBS, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun berkata gabungan pembangkang yang disertai empat parti itu bagaimanapun belum lagi didaftarkan.

“Perkara ini sudah diumumkan beberapa kali bahawa beliau (Pairin) adalah penasihat gabungan itu dan jawatan itu akan menjadi relevan bila organisasi ini didaftarkan,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Pada bulan lalu, empat parti iaitu PBS, UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) membentuk gabungan berkenaan.

Pairin dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menjadi penasihat GBS.

Timbalan Pengerusinya ialah Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor; Presiden STAR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

Antara matlamat gabungan itu adalah untuk mendapatkan autonomi penuh untuk Sabah dan melindungi hak-haknya dalam Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MS63).

GBS yang dianggotai seramai 10 Ahli Parlimen dan 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), juga akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Pakatan Harapan untuk kepentingan Malaysia dan Sabah baharu.

Berita Harian X