Rabu, 21 November 2018 | 6:47pm
KETUA Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail (tiga dari kanan) ketika ditemui di Balai Polis Sabak Bernam. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Rakyat perlu bersatu tolak ICERD

SABAK BERNAM: Rakyat di negara ini diminta bersatu menolak cadangan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail, berkata cadangan itu `bagai menyiram minyak dalam api’, sekali gus mengguris hati masyarakat Melayu dan mencabuli Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan beliau (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy) menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan secara tidak langsung mempamerkan sikap tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, jawatan yang disandang ketika ini tidak layak bagi beliau dan kerajaan harus mengambil tindakan tegas demi kepentingan masyarakat,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Terdahulu, UMNO Bahagian Sabak Bernam membuat laporan polis mengenai cadangan Waytha Moorthy itu di Balai Polis Sabak Bernam, di sini.

Dalam pada itu, Rizam menegaskan, masyarakat Melayu yang juga penduduk majoriti di negara ini pasti bangkit menentang segala ancaman khususnya hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harap menteri khususnya yang bukan Melayu dan yang beragama Islam sendiri tidak menimbulkan provokasi dan isu yang akhirnya mencetuskan ketegangan kaum.

“Senario hari ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak dan Perlembagaan sedia ada perlu dipertahankan demi keamanan dan kestabilan negara,” katanya.

Berita Harian X