Jumaat, 23 November 2018 | 3:29pm
ABDUL Hadi Awang. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kit Siang tiada hak bercakap mengenai orang Islam - Abdul Hadi

MARANG: “Dia tak berhak bercakap mengenai orang Islam.”

Itu reaksi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menempelak Lim Kit Siang berikutan pemimpin veteran DAP itu mempersoalkan tindakannya menentang cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sebaliknya Abdul Hadi berkata, Kit Siang yang seharusnya ‘diajar’ orang Islam yang berada bersamanya dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dia (Kit Siang) tak perlu mengajar orang Islam mengenai Islam kerana orang Islam lebih reti (arif) daripadanya. Sepatutnya orang Islam yang bersama dengan dia itu yang ajar dia, ini dia pula nak mengajar orang Islam dalam PH mengenai Islam...tak betul tu.

“Saya rasa kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Mohamad) lebih baik, dia faham dalam perkara ini sebab itu dia buat kenyataan yang jelas (proses ratifikasi) ICERD ini mustahil.

“Mustahil maknanya tak bolehlah, tapi masih ada lagi yang nak jolok,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Kampung Rusila di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kit Siang mempersoalkan tentangan Abdul Hadi terhadap cadangan meratifikasi ICERD.

Kit Siang meminta Abdul Hadi menjelaskan mengapa 55 daripada 57 negara Islam dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kecuali Malaysia dan Brunei sudah meratifikasi ICERD.

Membidas kenyataan Kit Siang yang mempersoalkan sama ada PAS dan UMNO akan mengadakan himpunan sebagai tanda protes terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Abdul hadi berkata, Kit Siang dan DAP sebenarnya tidak mahu melihat orang Melayu bersatu.

“DAP tak mahu orang Melayu bersatu, dia mahu Cina saja bersatu.

“Kita adakan perhimpunan membantah (cadangan merafitikasi) ICERD mengikut lunas demokrasi, mereka yang nak pertahankan ICERD juga boleh berdemonstrasi, apa salahnya, mereka kerahlah orang mereka, kita nak lihat berapa ramai sokong mereka,” katanya.

Abdul Hadi juga berkata, Kit Siang sepatutnya lebih menghormati sensitiviti semua kaum di Malaysia.

“Jangan dilihat satu kaum sahaja. Memang jelas DAP ini melihat satu kaum sahaja dan kita lihat orang bukan kaum Cina dalam DAP disingkirkan,” katanya.

Berita Harian X