Sabtu, 24 November 2018 | 12:56am
DATUK Salahuddin Ayub - Foto L MANIMARAN

Pemuda AMANAH jangan terpesong kerana kuasa - Salahuddin Ayub

KUALA KANGSAR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) diingatkan supaya tidak hilang fokus, cuai dan leka dengan kuasa yang ada selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, berkata ketika ini AMANAH sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ia adalah kesempatan terbaik untuk ahli AMANAH mengukuhkan parti.

“Inilah kesempatan terbaik kita. Kalau saya tidak cukup kuat bekerja beritahu, beritahu juga Presiden (Mohamad Sabu), beritahu juga kementerian lain (yang diwakili AMANAH) kami akan pastikan kami bekerja dengan lebih kuat.

“Kalau kita cuai leka dan hilang fokus, bahtera kita tersasar dari haluan, musuh boleh jadi kawan, kawan boleh jadi lawan, AMANAH jangan begitu hilang dari haluan dan matlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan; Timbalannya, Faiz Fadzil dan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Salahuddin berkata, AMANAH lahir kerana ada sebabnya iaitu untuk meneruskan agenda perjuangan yang belum selesai.

“Kita lahir bukan kerana kecewa, bukan kerana habuan, bukan kerana kejar sesuatu, tetapi kita lahir untuk terus memandu belayar berlari dan terus berjuang kerana perjuangan kita masih belum selesai dan kita membawa amanah,” katanya.

Terdahulu, Mohd Sany ketika menyampaikan ucaptamanya berkata, Pemuda AMANAH digesa menubuhkan sayap pemuda di semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

Katanya, setakat ini hanya 34 peratus iaitu 64 kawasan sayap Pemuda ditubuhkan sehingga Oktober tahun ini.

Beliau berkata, Pemuda mahu memastikan dalam tempoh setahun semua 222 kawasan Parlimen mempunyai sayap Pemuda AMANAH.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menubuhkan sayap di peringkat akar umbi sebagai pelapis,” katanya.

Berita Harian X